Jigging Pulau Sembilan

Setelah sekian lama memendam perasaan untuk mencuba acara jigging ringan,akhirnya tercapai juga hasrat di hati.Semuanya gara-gara Firdaus yang telah gatal mulut memberi cadangan untuk meneroka perairan Pulau Sembilan.
Trip kali ini telah dirancang dengan rapinya supaya tiada masalah yang berlaku atau trip tidak menjadi.Cik Wahab a.k.a Sifu adalah pendorong dan pemberi semangat kepada kami dalam trip kali ini.Banyak tunjuk ajar diberikan kapada kami tentang jigging ringan ini.Ini adalah kali pertamanya kami mencuba acara jigging ringan.
Setelah semua peralatan perang lengkap disediakan,tarikh 22.05.2010 telah di pilih kerana dari pengalaman tekong,ketika air mati adalah waktu yang paling sesuai untuk jigging.Tekong yang dipilih ini adalah boleh dikatakan agak berpengalaman kerana dari apa yang kami tahu,beliau telah banyak kali memenangi pertandingan memancing yang diadakan di perairan Pulau Sembilan.Beliau telah menyadiakan bot fiber 27 kaki berkekuatan enjin 90hp.Boleh dikatakan agak selesa kepada kami kerana trip kali ini hanya disertai seramai 5 orang sahaja.Kami juga diberitahu,bot ini baru sahaja di beli.Kami agak beruntung kerana layanan yang diberikan terasa sangat istimewa.

 Untuk ke Pulau Sembilan,Manjung adalah salah satu pintu masuk yang terbaik kerana tidak jauh dari Bandar Lumut.Kemudahan hotel juga mudah didapati di sana dan harganya juga tidak lah mahal.Anda boleh menempah hotel semurah RM100 yang boleh memuatkan 5 orang dalam satu-satu masa.Untuk mendapatkan keperluan barang memancing jika masih ada yang terlupa atau tidak mencukupi,di Lumut mudah untuk mendapatkannya kerana banyak kedai yang menjual peralatan memancing.

Di kawasan manjung ini juga mudah untuk mendapatkan umpan udang hidup.Anda hanya perlu melihat papan tanda di tepi jalan menjual udang hidup.Ianya semurah 20sen seekor.
Tekong memberitahu kami supaya berkumpul di jeti manjung jam 3 petang kerana jika air surut,bot tidak dapat keluar kerana air terlalu cetek.Setelah semua peralatan siap di loading ke dalam bot,tekong mengemudi laju menuju ke Perairan Pulau Sembilan.Bot fiber 27 kaki dengan enjin 90hp yg di gunakan dengan lajunya meredah lautan.Hanya mengambil masa 30min sahaja untuk sampai ke lubuk pertama.


Setibanya di lokasi pertama serigala telah sedia menanti kami.Talang dengan garangnya mengejar gerombolan ikan di permukaan.Percikan air dapat di lihat dari jauh sambil lompatan akrobatik yang mengasyikkan menambahkan lagi gairah kami untuk memulakan acara tarik tali.Tanpa membuang masa besi keras terus dilontar ke arah serigala yang sedang gelojoh itu.Hanya dengan beberapa balingan sahaja,jig yang dihulurkan terus disambut.

Jig dilemparkan terus ke arah bodong talang dan dibiarkan tenggelam ke separuh air dan terus dikarau laju.Bukan seperti jigging di perairan dalam yang mana jig dilepaskan secara menegak.Dengan cara ini kita dapat terus menghulurkan jig ke spot yang dikehendaki.Ada kalanya talang mengejar hingga ke tepi bot.Ini berlaku kerana jig dikarau tidak cukup laju.Talang tidak mudah terpedaya dengan jig kerana selagi dia tidak dapat memastikan apa yang dikejarnya itu bukan makanannya,talang tidak akan terus membahamnya.Sebab itu jig perlu dikarau dengan selaju yang mungkin supaya jig itu kelihatan hidup seperti anak ikan.Pernah terjadi talang mengejar sehingga terlanggar dinding bot.Betapa gelojohnya sang talang ini.